لَعْنَةُ اللهِ عَلَى الْيَهُوْدَ والنَّصَارَى اتَّخَذُوْا قُبُوْرَ اَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ يُحَذِّرُ مِثْلَ مَا صَنَعُوْا.
“Laknat
Allah ke atas Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur-kubur Nabi
mereka sebagai masjid-masjid. (Berkata ‘Aisyah) mereka (ketua-ketua
agama) menakut-nakutkan umatnya seperti apa yang mereka (Yahudi dan
Nasrani) lakukan”. H/R Bukhari 1/112. Muslim 2/67. Ahmad 1/218, 6/34,
229 dan 275. Darimi 1/327. Baihaqi 4/80. Dan an-Nasaii.
قَاتَلَ اللهُ الْيَهُوْدَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوْا قُبُوْرَ اَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ.
“Semoga
Allah membinasakan Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur para
Nabi mereka sebagai masjid-masjid”. ( H/R Bukhari, 1/112,113. Muslim,
11/67. Ahmad, 11/283, 366, 453 dan 518. Abu Daud (3227) dan Baihaqi)
Hanya
orang-orang yang benar-benar beriman akan sentiasa mematuhi hadis-hadis
di atas ini, mereka akan terus memperjuangkan dan mempertahankan
hadis-hadis sahih ini walaupun mereka sedang dituduh sebagai Wahhabi
atau dituduh menentang sunnah as-Syafieyah oleh mereka yang tidak tahu
siapa dan apa itu Wahhabi dan juga tersalah anggap terhadap Wahhabi.
Bagaimana
dengan Pak Man? Pak Man ikut telor mana? Telor Syafieyah atau Pak Man
Telor? Memang ada orang yang suka bercakap ikut lenggang kangkong,
tetapi jangan sampai ikut lenggang kongkang. Maaf mungkin bahasa penulis
agar kasar sebagaimana yang dikatakan oleh Pak Man. Betul kata Dato’
Seri Sahidan Bin Kasim: “Tinggalkan Qunut bukan semestinya Wahhabi”.
Menurut Mazhab As-Syafie
Menurut
Mazhab as-Syafie, dilarang (diharamkan) solat berhampiran kubur,
termasuk di masjid yang dibina berhampiran dengan kubur, kerana solat di
tempat seperti itu tidak ada contohnya dari syara dan bukan amalan Ahli
Sunnah wal-Jamaah. Kecuali jika kawasan masjid atau tanah masjid dan
tanah perkuburan diasingkan (di zon), sama ada dengan tembok, pagar atau
parit. Pengharaman ini berdasarkan athar dari ‘Umar bin al-Khattab
radhiallahu ‘anhu:
عَنْ اَنَسٍ
رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : كُنْتُ اُصَلِّيْ قَرِيْبًا مِنْ قَبْرٍ ،
فَرَآنِيْ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، فَقَالَ:
اَلْقَبْرُ! اَلْقَبْرُ! . فَرَفَعْتُ بَصَرِيْ اِلَى السَّمَاءِ وَانَا
اَحْسَبُهُ يَقُوْلُ : اَلْقَمَرُ ! اَلْقَمَرُ!.
“Dari
Anas radhiallahu ‘anhu berkata: Aku pernah mahu mengerjakan solat
berhampiran kubur, apabila ‘Umar bin al-Khattab melihatku, maka beliau
berkata: Kubur, Kubur! Aku melihat ke langit kerana aku menyangka beliau
berkata: Bulan, bulan!”. (H/R Abul Hasan dalam (جزء فيه مجالس من امالي
ابي الحين القزويني) 1/3 dengan sanad yang sahih. Dita’liq oleh Imam
al-Bukhari dalam Fathul Bari 1/437)
Dan terdapat penyambungannya oleh Abdul Razak dalam (مصنفه) 1/404/1581. Dengan tambahan:
قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : انَّمَا اَقُوْلُ الْقُبُوْر ، لاَ تُصَلِّى اِلَيْهِ.
“Berkata
‘Umar (kepada Anas): Yang aku katakan kubur (bukan bulan), janganlah
engkau bersolat menghampiri kubur (atau menghadap kubur)”. (Lihat:
(تحذير الساجد) hlm. 17. Al-Albani.)
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah
rahimahullah menjelaskan sebagai jawapan kepada persoalan kuburi yang
sangat berleluasa di negara-negara Islam sejak dahulu sehinggalah
sekarang iaitu:
“Menjadikan suatu tempat sebagai masjid ialah
bertujuan untuk mendirikan sembahyang lima waktu dan mengerjakan
ibadah-ibadah yang lain di dalamnya. Itulah tujuan sebenar didirikan
sesebuah masjid. Jika matlamat pembinaan sesebuah masjid hanyalah untuk
didirikan ibadah dan berdoa kepada Allah semata bukan kepada para
makhluk, maka diharamkan oleh Rasulullah menjadikan kubur-kubur sebagai
masjid, kerana fungsi masjid untuk solat di dalamnya sebagaimana tujuan
semua masjid dibina. Namun, jika mendirikan masjid di kubur maka ia akan
mudah membuka ruang untuk mengubah maksud ibadah seseorang itu daripada
beribadah kepada Allah akan tercampur dengan beribadah kepada orang di
dalam kubur, iaitu dengan cara berdoa (bertawassul) kepada kubur dan
berdoa di sisi kubur. Maka Rasulullah telah melarang menjadikan tempat
seperti ini untuk beribadah kepada Allah supaya dapat menutup ruang
daripada menyekutukan Allah dengan mayat di dalam kubur”. (Lihat:
القاعدة الجليلة Hlm. 22. Ibnu Taimiyah.)
Ibn al-Malik rahimahullah menjelaskan tentang haramnya amalan kuburi:
“Diharamkan
mendirikan masjdi di kuburan ialah kerana bersolat di masjid yang ada
kubur sama seperti mengikut sunnah dari sunnah-sunnah Yahudi”. (Lihat:
تحذيرالساجد hlm. 182. Nasruddin al-Albani.)
Menurut mazhab
Hambali, bersolat di masjid yang ada kubur atau di masjid yang didirikan
di perkuburan, hukumnya tidak sah solat tersebut (Lihat: تحذير الساجد
hlm. 182. Nasruddin al-Albani. hlm. 185. Lihat: شرح المنتهى 1/303) dan
wajib diulang semula.
Kalau Pak Man meneliti semua kita-kitab
empat imam mazhab, pasti ditemui bahawa semua imam-imam yang empat,
Syafie, Hambali, Hanafi dan Maliki kesemua mereka bersepakat
mengharamkan amalan “kuburi”.
Pendirian tegar Pak Man untuk
menghapuskan apa yang dianggap Wahhabi, sewajarnya berlandaskan teras
ilmiyah dan kematangan berfikir panjang, terutama setelah beliau
bergelar fellow kehormat ……… dan orang yang disegani.
Pak Man
perlu tahu, ancaman terhadap amalan yang diatasnamakan sebagai amalan
as-Syafieyah di Malaysia bukan datangnya dari Wahhabi atau gerakan
Wahhabi, tetapi datangnya dari orang-orang yang mengaku bermazhab
as-Syafie kemudian mengatasnamakan sesuatu amalan sebagai amalan
as-Syafie sebelum jelas bahawa itu dari Imam as-Syafie. Begitu juga
berpunca dari cengkaman kejahilan segelintir orang yang ditokohkan dan
diulamakan oleh orang-orang yang berkepentingan atau orang yang tergugat
kepentingannya jika amalan yang benar-benar sunnah dihidupkan dan
disebarkan oleh golongan yang dilabelkan sebagai Wahhabi, kerana
golongan yang dilabelkan sebagai Wahhabi juga tidak secara langsung
telah membongkar bid’ah-bid’ah yang dinasabkan kepada Imam Syafie atau
diklasifikasikan sebagai amalan mazhab as-Syafie sedangkan pada
hakikatnya yang sebenar, itu semua tidak ada kena mengena dengan Imam
Syafie atau dengan mazhab as-Syafie. Didapati rata-rata mereka yang
menentang golongan yang dituduh Wahhabi mereka yang menuduh sebenarnya
tidak tahu tentang Wahhabi, apa itu Wahhabi, siapa dia Wahhabi dan
Wahhabiyah. Mungkin dalam kalangan mereka termasuk Pak Man. Maaf kalau
penulis salah skip! Tentunya Pak Man seorang yang pemaaf.
Menetapkan Ziarah Kubur Di Hari Raya Amalan Bid’ah Bukan Amalan Ahli Sunnah Wal-Jamaah As-Syafieyah
Mengkhususkan
hari-hari tertentu, bulan-bulan tertentu atau musim-musim tertentu
untuk menziarahi kubur terutamanya secara beramai-ramai, seperti hari
haul atau di hari raya, kemudian duduk membaca al-Quran, bertakbir raya,
berzikir kemudian makan di kuburan adalah perbuatan bid’ah bukan sunnah
kerana ia bukan amalan Ahli Sunnah wal-Jamaah as-Syafieyah.
Tidak
ada dalil yang membolehkan dan tidak pernah disuruh atau dilakukan oleh
Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, para sahabat, para tabiin dan para
Salaf as-Soleh perbuatan tersebut. Orang Islam yang melakukannya
sewajarnya mendatangkan dalil syarie untuk membuktikan bahawa ia
dibolehkan oleh agama agar tidak menjadi amalan yang bid’ah. Nabi
melarang berkumpul-kumpul dan berhari raya walaupun di kubur baginda:
عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاًَتَتَّخِذُوْا قَبْرِيْ عِيْدًا.
“Dari
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Bersabda sallallahu ‘alaihi
wa-sallam: Janganlah kamu jadikan kuburku tempat berhari raya”. (Hadis
sahih riwayat Ahmad 2/367. Abu Daud (2042))
Pak Man boleh lihat
sendiri pada setiap hari raya, seawal pagi masyarakat Islam telah
berkunjung ke kubur-kubur saudara mara mereka. Amalan ini menjadi
acara-acara ritual yang bersifat rutin disetiap menjelangnya Syawal.
Sedarkah
Pak Man, bahawa Imam Syafie melarang berkumpul-kumpul semula kerana
kematian? Larangan ini bukan sahaja terhad di rumah-rumah tetapi juga di
masjid-masjid, surau atau di mana sahaja. Masyarakat Islam (Melayu
terutamanya) akan menunggu semua anak-cucu dan saudara mara berkumpul di
hari raya untuk sama-sama ke kubur. Di perkuburan mereka melakukan
semua perkara-perkara yang ditentang oleh Imam Syafie kerana jelas ianya
boleh membawa kepada ratapan, tangisan dan mengulangi kesedihan, yang
mana semuanya itu merupakan amalan bid’ah yang adakalanya
dicampur-baurkan dengan amalan khurafat atau syirik.
Kerancuan
Pak Man memahami antara fiqh Syafie dan mazhab as-Syafieyah amat ketara
jika benar kenyataan di Mingguan bukan kesilapan pemberita semata.
Mudah-mudahan ia kesilapan yang bukan dari Pak Man.
Kegetiran dan
ketidak-upayaan Pak Man menghadapi apa yang dituduh sebagai golongan
Wahhabi, menjadikan beliau mudah membuat kenyataan bahawa Wahhabi
“ekstrem” dan juga membuat fitnah bahawa “Fahaman Wahhabi berjaya
menggulingkan kerajaan Uthmaniyah dan wajar menjadi peringatan kepada
kerjaan Negara ini”. Kenyataan ini menunjukkan Pak Man sangkap jarang,
gelap sejarah Imam Abdul Wahhab, dan belum meneliti sejarah Hijaz secara
ilmiyah. Jika sekiranya kenyataannya hanya sekadar pandangan, lebih
baik menyekap sahaja pandangannya agar menjadi pencuci mulut dan tidak
menjadi pencuci fikiran. Kasihan! kepandiannya bercakap telah membongkar
apa yang sebenarnya tersimpan di benak Pak Uthman. Mungkin atau boleh
jadi Pak Man ingin menjadi kritikus yang handal sehingga pandai
mengkritik Muhammad bin Abdul Wahhab yang mempunyai kriteria ulama dan
mujaddid. Maaf!
Syabas kepada Dato’ Seri Sahidan Kasim! Semoga
Allah memberkati usahanya, ketika semua menyepi, beliau bangun
mempertahankan kebenaran golongan yang dituduh Wahhabi. Walaupun beliau
dan negeri Perlis dilabel sebagai Wahhabi, tetapi yang sebenarnya beliau
telah mempertahankan Imam Syafie dan Salafi.
Meratap Di Kubur Bukan Amalan Ahli Sunnah Wal-Jamaah Kerana Diharamkan Oleh Imam Syafie
Masyarakat
Islam di Malaysia (termasuk di Nusantara) yang dianggap oleh Pak Man
mengamalkan amalan Ahli Sunnah wal-Jammah Syafieyah, sebenarnya beramal
dengan amalan yang kebanyakannya (bukan semuanya) amat bertentangan
dengan amalan dan fatwa Imam Syafie rahimahullah. Mereka menghalalkan
bid’ah amalan-amalan yang dibid’ahkan oleh Imam Syafie atas nama atau
bersempena nama Imam Syafie. Mereka memandai-mandai memasukkan perbuatan
dan amalan-amalan mereka yang bid’ah ke dalam mazhab as-Syafie tanpa
ada bukti. Contohnya, antara perkara yang diharamkan oleh Imam Syafie
ialah berkumpul-kumpul semula kerana orang mati yang telah dikebumikan,
menimbulkan kesedihan yang baru dan ratapan, iaitu seperti apa yang
terjadi di seluruh perkuburan orang-orang Islam di Malaysia disetiap
hari raya. Imam Syafie sendiri telah menegaskan dengan fatwanya:
وَاَكْرَهُ الْمَاْتَمَ وَهِيَ الْجَمَاعَةُ وَاِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ بُكَاءٌ فَاِنَّ ذَلِكَ يُجَدِّدُ الْحُزُنَ.
“Aku
memakruhkan maktam, iaitu berkumpul-kumpul untuk si Mati walaupun tidak
ada tangisan, kerana maktam akan menimbulkan kesedihan yang baru”. (
Lihat: Al-Umm, juz, 1 hlm. 248.)
Berkumpul-kumpul beramai-ramai
di kuburan di hari raya menurut fatwa Imam Syafie termasuk maktam yang
telah diharamkan secara ijmak (Kesepakatan ulama), kerana selain
berkumpul-kumpul ada yang menangis dan meratap. Mereka juga melakukan
berbagai-bagai bid’ah, kesyirikan dan khurafat di kuburan. Bagaimana
pandangan Pak Uthman? Adakah bersama mereka yang mempertahankan Imam
Syafie yang dianggap Wahhabi atau bersama orang-orang yang memuja
kuburi? Tolonglah berikan kepada kami hujjah-hajjah yang qat’iyah.
Duduk Dan Makan Di Kuburan, Ditentang Oleh Wahhabi Atau Syafie?
Penulis
pernah melawat perkuburan Pusara Aman di Singapura. Tujuan penulis
adalah ingin tahu bagaimana amalan bid’ah dilakukan di perkuburan
dimusim perayaan. Penulis telah melihat beberapa keluarga yang menziarhi
kubur keluarganya dihari raya, mereka datang beramai-ramai ke
perkuburan sehingga ada yang menaiki lori, bas atau van. Mereka membawa
tikar, makanan atau hidangan. Mereka duduk beramai-ramai sambil membaca
ayat-ayat al-Quran, bertahlil dan ada sekeluarga yang bertakbir hari
raya di samping kubur keluarga mereka. Selesai upacara tersebut, mereka
mencari sudut yang lapang, kemudian duduk beramai-ramai sambil
membahagi-bahagikan makanan untuk dimakan bersama keluarga di
perkuburan. Mereka kelihatan benar-benar merayakan perayaan Hari Raya di
perkuburan beramai-ramai bersama sanak saudara dan anggota keluarga.
Apakah ini amalan Ahli Sunnah wal-Jamaah mengikut mazhab as-Syafie?
Sedangkan perbuatan tersebut telah diharamkan oleh Rasulullah sallallahu
‘alaihi wa-sallam dan telah difatwakan tentang haramnya oleh Imam
as-Syafie serta para ulama besar yang bermazhab as-Syafieyah sebagaimana
tercatit dalam kitab (اعانة الطالبين) Juz. 2. Hlm. 146:
وَيكْرهُ…. نَقْلُ الْطَّعَام اِلَى الْقُبُوْرِ.
“Dibenci (makruh yang haram) membawa makanan ke kubur”.
Duduk
di atas kubur (di perkuburan orang-orang Islam) juga telah diharamkan
oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan difatwakan juga oleh
Imam Syafie di dalam kitab Al-Umm. Mereka yang dibolehkan duduk hanya
kerana ada keuzuran atau mempunyai sebab yang dibolehkan oleh syara,
maka orang-orang seperti ini tidak mengapa jika ia duduk di atas
perkuburan. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
عَنْ
اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَنْ يَجْلِسَ اَحَدُكُمْ عَلَى
جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ اِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ مِنْ اَنْ
يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ.
“Dari Abu
Hurairah radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi
wa-sallam bersabda: Sesungguhnya jika salah seorang kamu duduk di atas
bara api sampai membakar pakaiannya lalu menembusi kulitnya, masih lebih
baik baginya daripada ia duduk di atas kubur”. ( H/R Muslim 3/62. Abu
Daud 3228. Ahmad 2/311, 444. Baihaqi 4/79. Ibnu Majah dan an-Nasaii.
Hadis ini juga terdapat dalam Al-Umm kitab besar Imam Syafie.)
Diharap
kepentingan hadis ini lebih dipelihara oleh Pak Man dari kepentingan
yang lain dan dapat disebar-sebarkan apabila diminta memberi kulliah,
foram atau kenyatan.
Membuat Batas (Dapur) Pada Kuburan Ditegah Oleh Wahhabi Atau Syafie?
Menurut
Imam Syafie dan ijmak para ulama as-Syafieyah, mereka mengharamkan
menghias, membuat batas, meninggikan tanah, memayungkan dan mendirikan
kubbah atau bangunan di atas kubur. Mereka mengharamkan juga menulis apa
pun tulisan atau mengecat kubur, kerana semuanya itu bukan amalan Ahli
Sunnah, malah bertentangan dengan sunnah berdasarkan hujjah dari syara
dan telah difatwakan sebagai perbuatan haram oleh Imam Syafie serta para
ulama as-Syafieyah. Mereka berhujjahkan athar yang sahih:
عَنْ
عَبْدِ اللهِ بْنِ حَسَنَةَ قَالَ : رَاَيْتُ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّان
رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَاْمُرُ بِتَسْوِيَةِ الْقُبُوْرِ ، فَقِيْلَ لَهُ :
هَذَا قُبْرُ اُمُّ عَمْرو بِنْت عُثْمَان ! فَاَمَرَ بِهِ فَسَوِّي.
“Dari
Abdullah bin Hasanah berkata: Aku lihat ‘Uthman bin ‘Affan radhiallahu
‘anhu memerintahkan agar diratakan kubur. Maka dikatakan kepadanya: Ini
kubur Ummu ‘Amr binti ‘Uthman, maka beliau menyuruh agar diratakan”.
(Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam المصنف 4/138. Abu Zar’ah dalam
(تاريخه) 2/66, 2/121. Sanadnya sahih dari Abdullah. telah diwaridkan
oleh Ibn Abi Hatim dalam (الجرح والتعديل) 3/81-82.)
عَنْ
اَبِيْ الْهَيَّاجِ اْلاَسَدِيْ قَالَ : قَالَ لِيْ عَلِيُ بْنُ اَبِيْ
طَالِبرَضِيَ اللهُ عَنْهُ : اَلاَ اَبْعَثُكَ عَلَى مَا بَعَثَنِيَ
عَلَيْهِ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟ اَنْ لاَ تَدْع
تِمْثَالاً اِلاَّ طَمَسْتَهُ ، وَلاَ قُبْرًا اِلاَّ سَوَّيْتَهُ.
“Dari
Abi al-Hayyah al-Asadi berkata: Berkata kepadaku Ali bin Abi Talib
radiallahu ‘anhu: Tidakkah aku mengutus engkau atas apa yang telah
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengutusku? Janganlah dibiarkan
satupun berhala kecuali engkau menghancurkannya dan tidak dibiarkan
sebuah kuburpun kecuali engkau meratakannya”. (H/R Muslim, 3/61. Abu
Daud, 3/70. an-Nasaii, 1/285. At-Turmizi, 2/153-154. Al-Bahaiqi, 4/3.
At-Tayalasi, 1/168. Ahmad 741, 154. Ada beberapa jalan pada Ibnu Abi
Syaibah, 4/139 dan at-Tabrani dalam (الصغير) hlm. 29)
Al-Allama al-Imam al-Hafiz al-Baghawi rahimahullah yang bermazhab as-Syafie berkata:
يُكْرَهُ
اَنْ يُضْرِبَ عَلَى الْقُبْرِ مِظَلَّةً لاَنَّ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ
عَنْهُ رَاَى مِظَلَّةً عَلَى قَبْرٍ فَاَمَرَ بِرَفْعِهَا وَقَالَ :
دَعُوْهُ يُظِلُّهُ عَمَلهُ.
“Diharamkan
meletak payung di atas kubur, kerana ‘Umar radhiallahu ‘anhu setelah
melihat payung di atas kubur beliau menyuruh agar dibuang payung
tersebut dan berkata: Biarkanlah amalannya yang memayungkannya”.
Pak
Man dan yang sefahaman dengannya sewajarnya menyebarkan penjelasan
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah ulama besar yang bermazhab as-Syafie
ini, tolonglah jangan disembunyikan dari pengetahuan masyarakat Islam
Malaysia yang majoritinya bermazhab as-Syafie. Al-Hafiz Ibn Hajar telah
menegaskan dalam kitabnya (المنهاج) bahawa Imam as-Syafie telah
berfatwa:
لَعَنَ اللهُ فَاعِلَهُ
وَيَجِبُ الْمُبَادَرَةِ لِهَدْمِهَا وَهَدْم الْقُبَابَ الَّتِيْ عَلَى
الْقُبُوْرِ اِذْ هِيَ اَضَرُّ مِنْ مَسْجِدِ الضِّرَارِ لاَنَّهَا
اُسِّسَتْ عَلَى مُعْصِيَةِ الرَّسُوْل اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ لاَنَّهُ نَهَى عَنْ ذَلِكَ.
“Dilaknat
pembuatnya (solat, membina masjid, dapur, kubbah dan binaan di kuburan
atau di atas kubur, pent.), wajib bersegera merobohkannya dan merobohkan
kubbah yang dibina di atas kubur kerana membinanya lebih bahaya dari
masjid ad-Dirar yang dibina kerana bermaksiat terhadap Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wa-sallam, yang mana baginda telah melarang dari
melakukan yang sedemikian.
Semua fatwa-fatwa tersebut yang
difatwakan oleh Imam Syafie dan para ulama besar as-Syafieyah
berdasarkan hadis-hadis sahih, antara hadis tersebut ialah:
عَنْ
جَابِرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ اَنْ يُجَصَّصَ الْقُبُوْرِ وَاَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ وَاَنْ
يُبْنَى عَلَيْهِ (اَوْ يُزَادَ) اَوْ يُكْتَبَ عَلَيْهِ.
“Dari
Jabir radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi
wa-sallam telah melarang kuburan dikapur (dicat dan dihias), diduduki
atasnya, didirikan bangunan di atasnya, ditambah atau ditulis di
atasnya”.
Berpandukan hujah-hujah syara dan fatwa Imam Syafie, maka Ibnu Hajar menjelaskan perkara haram yang diistilahkan sebagai kuburi:
لاَيَجُوْزُ
اَنْ يُطَافَ بِقَبْرِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَيَكْرَهُ
لصْقُ الْبَطْنِ وَالظَّهْربِجِدَارِالْقَبْرِ قَالَهُ اَبُوْ عُبَيْدِ
اللهِ الْحُلَيْمِى وَغَيْرُهُ قَالُوْا يَكْرُهُ مَسْحَهُ بِالْيَدِ
وَتَقْبِيْلهُ
“Tidak dibolehkan
bertawaf di kubur Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam, dilarang meletakkan
perut dan dada ke dinding kubur. Abu ‘Ubaidillah al-Hulaimi dan
selainnya yang mana mereka semua menjelaskan fatwa Imam Syafie: Dibenci
menyapu dengan tangan dan mengucup kubur Nabi”.
Imam an-Nawawi rahimahullah yang bermazhab as-Syafie melanjutkan fatwa Imam as-Syafie:
وَيُكْرَهُ
تَجْصِيْص الْقُبُوْر ، وَالْبِنَاءُ عَلَيْهِ ، وَالْكِتَابَةُ عَلَيْهِ ،
سَوَاءً كِتَابَةُ اسْمُهُ وَغَيْرهُ فِى لَوْحٍ عِنْدَ رَاْسِهِ اَوْ
فِىْ غَيْرِهِ.
“Dibenci mengapur,
membaca dan menulis tulisan di atas kubur, samada menulis namanya di
atas batu di sebelah kepalanya atau di tempat-tempat yang lainnya”.
Hujjah
yang berdasarkan syara telah dikemukakan oleh Imam Syafie dan para
ulama as-Syafieyah tentang haramnya amalan kuburi. Bagaimana hujjah Pak
Man? Bolehkah mematahkan hujjah Imam Syafie yang dipertahankan oleh
orang-orang yang dituduh Wahhabi?
Kononnya Menurut Uthman El-Muhammady Wahhabi Melarang Berdoa Untuk Orang Mati
Di
dalam kitab-kitab yang dianggap kitab tulisan ulama Wahhabi, penulis
dapati mereka menganjurkan agar orang-orang Islam mendoakan orang-orang
Islam yang telah meninggal dunia. Adapun dalil-dalil di dalam
kitab-kitab tulisan mereka yang menunjukkan suruhan agar mendoakan orang
yang telah mati ialah ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih,
antaranya ialah firman Allah:
وَالَّذِيْنَ جَاءُ وْا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلاِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالاِيْمَانِ.
“Dan
orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan
kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum
kami!”. AL-HASYR, 59:10.
رَبَّنَا اغْفِرْلِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ يَوْمَ يَقُوْمُ الْحِسَابِ.
“Ya
Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku, kedua ibu bapaku dan sekalian
orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat)!” IBRAHIM,
14:41.
وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ.
“Dan minta ampunlah bagi dosamu dan bagi orang-orang yang beriman”. MUHAMMAD, 47:19
عَنْ
عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا: اَنَّ النَّبِيَّ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ كَاَنَ يَخْرُجُ اِلَى الْبَقِيْعِ فَيَدْعُوْلَهُمْ
فَسَاَلَتْهُ عَائِشَةَ عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ : اِنِّيْ اُمِرْتُ اَنْ
اَدْعُوْلَهُمْ
“Dari ‘Aisyah
radhiallahu ‘anha: Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah
keluar ke Baqi’ mendoakan mereka. Maka ‘Aisyah bertanya tentang itu?
Baginda menjawab: Sesungguhnya aku diperintahkan agar mendoakan mereka”.
H/R Ahmad (sahih) 6/252.
عَنْ
عَائِشَةَ قَالَتْ: حَتَّىجَاءَ الْبَقِيْعِ رَفَعَ يَدَيْهِ ثَلاَثَ
مَرَّاتٍ ثُمَّ احْرَفَ قَالَ: فَاِنَّ جِبْرِيْلَ اَتَانِيْ فَقَالَ:
اِنَّ رَبَّكَ يَاْمُرُكَ اَنْ تَاْتِيَ اَهْلَ الْبَقِيْعِ فَيَسْتَغْفِرَ
لَهُمْ
“Dari ‘Aisyah: Setelah
sampai di Baqi’ baginda berdiri dan lama berdirinya, kemudian mengangkat
kedua tangannya (berulang) tiga kali. (Selesai berdoa) baginda pulang,
baginda bersabda: Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku, lalu dia
berkata: Sesungguhnya Rabbmu telah memerintahkan engkau pergi ke
penghuni Baqi’ agar memohonkan keampunan untuk mereka”. (Hadis sahih
riwayat Muslim, 3/64-65)
Meminta Tolong Kepada Orang Mati
Telah
sepakat jumhur ulama-ulama besar yang bermazhab as-Syafie, bahawa
bertawassul, meminta pertolongan atau berdoa (menyeru) dengan
berperantaraan kepada orang yang telah mati atau benda-benda mati adalah
syirik besar hukumnya, kerana tidak pernah ada fatwa dari Imam Syafie
yang mengizinkannya. Doa atau seruan secara bertawassul kepada orang
yang telah mati samalah seperti menyeru orang mati, doa pula adalah
merupakan ibadah yang tidak boleh mengibadahi orang mati dengan berdoa
kepada mereka sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
عَنِ
النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اَلدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ ثُمَّ
قَرَاَ : (وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُوْنِيْ اَسْتَجِبْ لَكُمْ).
“Dari
Nu’man bin Basyir, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Doa
itu adalah termasuk ibadah. Kemudian baginda membaca ayat (dan telah
berfirman Rabbmu, berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan)”.
(Hadis sahih riwayat Abu Daud (1479). Ahmad 4/267, 271, 276, 277.
Bukhari dalam Adab al-Mufrad (714). Hakim, 1/491. Ibnu Majah (3828).
Ibnu Hibban (2397). Dan Turmizi.)
فَلاَ تَدْعُ مَعَ اللهِ اِلَهًا آخَرَ فَتَكُوْنَ مِنَ الْمُعَذِّبِيْنَ.
“Maka
janganlah kamu menyeru tuhan yang lain di samping Allah, yang
menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang diazab”. ASY-SYUARA, 26:213.
وَلاَ تَدْعُ مَعَ اللهِ اِلَهًا آخَرَ لاَ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ.
“Janganlah
kamu seru di samping Allah tuhan apapun yang lain, tiada Tuhan yang
berhak (yang wajib) diibadahi selain Dia”. AL-QASAS, 28:88.
Sesiapa
yang menyeru, memohon, mengharap, meminta pertolongan atau berwasilah
kepada roh orang yang telah mati, sama ada roh para rasul, nabi, wali,
tok guru, syeikh atau orang yang disucikan, maka perbuatan tersebut
adalah perbuatan “kuburi”, keji, dosa besar, dilaknat dan syirik
hukumnya menurut Imam Syafie. Allah Azza wa-Jalla berfirman:
وَمَنْ
يَدْعُ مَعَ اللهِ إِلَهًا آخَرَ لاَ بُرْهَانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّمَا
حَسَابُهُ عِنْدَ رَبِّهِ إِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الْكَافِرُوْنَ.
“Dan
sesungguhnya barangsiapa yang menyeru seruan yang lain di samping
menyeru Allah, padahal tidak ada satu pun dalil baginya melakukan hal
itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Rabbnya. Sesungguhnya
orang-orang yang kafir itu tidak beruntung”. AL-MUKMINUN, 23: 117.
Yang
wajib diseru dan disembah hanyalah Allah, jika doa itu merupakan
seruan, maka serulah Allah sahaja dan janganlah diseru orang yang telah
mati kerana menyeru orang mati hukumnya syirik, tetapi serulah Allah
kerana Allah berjanji akan memperkenankan seruan hambaNya. Allah
berfirman:
وَقَالَ رَبُّكُمْ
أُدْعُوْنِيْ أَسْتَجَبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِيْنَ يَسْتَكْبِرُوْنَ عَنْ
عِبَادَتِيْ سَيَدْخُلُوْنَ جَهَنَّمَ دَاخِرِيْنَ.
“Dan
Tuhanmu berfirman: Berdoalah (mintalah) kamu kepadaKu, nescaya akan Ku
perkenankan bagimu. Sesungguhnya yang menyombong diri dari menyembah Ku
akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina”. AL-MUKMIN , 40:60.
Mayat
di dalam kubur tidak boleh lagi diseru, selain ada larangan dari syara,
si Mayat juga sudah tidak boleh berbuat apa-apa dan tidak boleh
mendengar seruan manusia. Allah Azza wa-Jalla berfirman:
ذَلِكُمُ
اللهُ رَبُّكُمْ لَهُ الْمُلْكُ وَالَّذِيْنَ تَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِهِ
مَا يَمْلِكُوْنَ مِنْ قَطْمِيْرٍ. إِنْ تَدْعُوْهُمْ لاَ يَسْمَعُوْا
دُعَآءَكُمْ وَلَوْ سَمِعُوْا مَا اسْتَجَابُوْا لَكُمْ وَيَوْمَ
الْقِيَامَةِ يَكْفُرُوْنَ بِشِرْكِكُمْ وَلاَ يُنَبِّئُكَ مِثْلُ
خَبِيْرٍ.
“Yang (tersebut)
demikian itulah Allah Tuhanmu, kepunyaanNyalah kerajaan. Dan orang-orang
yang kamu seru (sembah) selain Allah tiada mempnyai apa-apa walaupun
setipis kulit ari. Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar
seruanmu, dan kalaupun mereka mendengar, mereka tidak dapat
memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari
kemusyrikanmu dan tidak ada yang dapat memberikan keterangan kepadamu
sebagai yang diberikan oleh Yang Maha Mengetahui”. FATHIR, 35:13-14.
Tidakkah
Pak Man tahu? Terdapat terlalu banyak masjid, surau, musalla atau
madrasah-madrasah di negara kita yang didirikan di tanah perkuburan, di
persekitarannya, berhampiran dengan perkuburan atau sengaja
mengkebumikan mayat di dalam masjid, di persekitaran masjid atau di
tanah wakaf masjid. Antara tujun mereka ialah agar mudah membacakan
ayat-ayat al-Quran terutama surah al-Fatiha kepada ahli kubur atau
supaya mudah mengambil berkat atau bertawassul (menyeru) kepada orang
yang dianggap suci martabatnya di kubur-kubur tersebut.
Memang
amat sukar untuk meyakinkan masyarakat bahawa perbuatan “kuburi” amat
menyalahi sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan membawa
kepada kesyirikan. Siapakah yang boleh menghapuskan amalan “kuburi”
kalau tidak Pak Man?
Beralasan Dengan Masjid Rasulullah Di Madinah
Masyarakat
Islam di Nusantara, apabila ditegah dari bersolat di masjid-masjid yang
ada kubur, maka rata-rata mereka semua beralasan dengan masjid Nabi
sallallahu ‘alaihi wa-sallam di Madinah untuk membolehkan perbuatannya
yang telah diharamkan oleh Imam Syafie. Tahukah Pak Man, para ulama
Salaf as-Soleh khususnya yang bermazhab as-Syafie telah menjelaskan
duduk perkara ini yang sebenar. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam
kitabnya (الجواب الباهر فى زور المقابر) beliau menegaskan:
“Bersolat
di dalam masjid yang dibina di atas kubur ditegah secara mutlak,
berlainan pula dengan masjid Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Maka
sesungguhnya bersolat di masjid Nabawi diganda dengan pahala seribu
solat. Masjid Nabawi dibina atas dasar ketakwaan. Pengharamannya sejak
baginda masih hidup dan semasa masih hidupnya para Khulafa ar-Rasyidin.
Pada masa mereka semua (sahabat masih hidup) tidak pernah dimasukkan
bilik (rumah/kubur) baginda ke dalam masjid, tetapi (kubur baginda dan
kubur para sahabat) dimasukkan ke dalam masjid selepas zaman sahabat
(sudah berlalu)”. (Lihat: تحذير الساجد Hlm. 200-201)
Seterusnya Ibnu Taimiyah rahimahullah menjelaskan lagi:
“Fadhilat
(keutamaan/kelebihan) Masjid Nabi sudah ada sebelum dimasukkan bilik
(rumah) baginda ke dalam masjid. Antara fadhilat masjid Nabi dimana Nabi
sallallahu ‘alaihi wa-sallam membinanya sendiri bersama orang-orang
yang beriman, mereka bersolat semata-mata kerana Allah, mereka
benar-benar dikenali sebagai orang-orang yang beriman sehinggalah ke
Hari Kiamat. Dan telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
Bersolat di masjidku ini lebih baik dari seribu salat di masjid yang
lain kecuali Masjid al-Haram”.
Menurut penjelasan Syeikh Nasruddin al-Albani rahimahumullah:
“Hukum
pengharaman bersolat di masjid yang terdapat kubur di dalamnya
termasuklah semua masjid, sama ada yang besar, yang kecil, yang lama
atau yang baru kerana keumuman dalilnya. Tidak ada pengecualian apa pun
masjid jika ada kubur di dalamnya kecuali Masjid Nabi yang mulia di
Madinah, kerana keutamaan (fadhilat) yang khusus yang tidak terdapat di
masjid-masjid yang lain. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu
‘alaihi wa-sallam:
صَلاَةٌ فِى مَسْجِدِيْ هَذَاخَيْرٌ مِنْ اَلْفِ صَلاَةٍ فِيْمَا سِوَاهُ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ فَاِنَّهُ اَفْضَلٌ
“Satu
solat di masjidku ini seribu kali lebih baik dari bersolat di masjid
lain kecuali masjid al-Haram kerana di masjid al-Haram lebih afdhal”.
(H/R Bukhari, Muslim dan selain mereka, hadis dari Abu Hurairah). Dan
sabdanya lagi:
مَا بَيْنَ بَيْتِيْ وَمِنْبَرِيْ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ.
“Di antara rumahku dan mimbarku ialah raudhah dari riadhul jannah”.
H/R Bukhari dan Muslim.
Jika
sekiranya haram solat di masjid Nabi lantaran kubur baginda, ini
bermakna menyamakan masjid tersebut dengan masjid-masjid yang lain.
Masjid Nabi dikecualikan kerana adanya keutamaan pada masjid tersebut.
Ia dibina atas ketakwaan.
Pengharaman belaku sejak Nabi masih
hidup dan semasa Khulafa ar-Rasyidin. Adapun kubur Nabi dimasukkan ke
dalam masjid setelah ketiadaan para sahabat radhiallahu ‘anhum. (Lihat:
تحذير الساجد من اتخاذ القبور مساجد Hlm. 200-201) Fadhilat ini dinyatakan
dalam sabda baginda:
لاَ تَشُدُّ الرِّحَالُ اِلاَّ اِلَى ثَلاَثِ مَسَاجِد ، اَلْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَالْمَسْجِدِ اْلاَقْصَى وَمَسْجِدِيْ هَذَا.
“Tidak
digalakkan bersangatan untuk berpergian (untuk memperolehi barakah)
kecuali kepada tiga masjid: Masjid al-Haram (di Mekah), Masjid al-Aqsa
dan masjidku ini di Madinah)”. (Hadis Mutafaq ‘alaihi dari Abi Hurairah,
Lihat: احكام الجنائز وبدعها Hlm. 224-225. Nasruddin al-Albani)
اِنَّمَا يُسَافِرُاِلَى ثَلاَثِ مَسَاجِدَ : مَسْجِدِ الْكَعْبَةِ وَمَسْجِدِيْ وَمَسْجِدِ اِيْلِيَاءَ
“Hanya
diperbolehkan safar (mencari barkah) pada tiga masjid: Masjid Kaabah,
Masjidku dan Masjid Eliya”. (Hadis sahih riwayat Muslim, 4/126)
Berkata al-Hafiz Muhammad bin Abdul Hadi rahimahullah:
“Adapun
mula dimasukkan bilik (rumah/kubur) Rasulullah sallallahu ‘alaihi
wa-sallam ke dalam masjid, ialah pada pemerintahan al-Walid bin Abdul
Malik, iaitu selepas kewafatan semua sahabat yang ada di Madinah. Yang
terakhir wafat dari kalangan sahabat ialah Jabir bin Abdullah dimasa
pemerintahan Abdul Malik pada tahun 87H. Walid dilantik sebagai Khalifah
pada tahun 86H. Beliau wafat pada tahun 96H. Diketika itulah dibina
semula masjid dan dimasukkan bilik (rumah/kubur) Nabi ke dalam masjid”.
(Lihat: الصارم المنكي hlm. 136-137.)
Berkata Muhaddis Syeikh Nasruddin al-Albani rahimahullah:
“Tidak
sewajarnya bagi setiap Muslim setelah mengetahui hakikat (tidak boleh
bersolat di masjid yang ada kubur atau di masjid yang dibina di atas
kubur), lalu ia berhujah dengan apa yang berlaku setelah berlalunya
zaman sahabat, kerana cara ini bertentangan dengan hadis yang sahih dan
dengan apa yang telah difahami oleh para sahabat serta para pembesar
sahabat. Ia bertentangan juga dengan apa yang telah dilakukan oleh ‘Umar
dan ‘Uthman semasa meluaskan masjid Nabawi, tetapi mereka tidak
memasukkan kubur ke dalam masjid. Oleh itu kami menyalahkan apa yang
telah dilakukan oleh al-Walid bin Abdul Malik (semoga Allah
mengampuninya) walaupun masjid diketika itu sangat perlu diluaskan,
tetapi mengapa ia tidak meluaskan masjid ke arah yang lain tanpa
memasukkan bilik (rumah/kubur) yang mulia Nabi ke dalam masjid”. (Lihat:
تحذير الساجد hlm. 93.)
Sewajarnya Pak Man telah tahu persoalan
dan hukum antara ziarah kubur dan amalan kuburi ini. Sebaiknya dia juga
sentiasa berwaspada apabila mengeluarkan kenyataan di akhbar atau
apabila memperkatakan sesuatu yang bukan bidangnya. Penulis sangat
menghormati Pak Man, tetapi setelah meneliti banyak kertas-kerja, kaset
dan VCD yang sampai kepada penulis, ia menjadikan penulis sangat meragui
beliau. Allah yahdika!
Tuduhan Bahawa Wahhabi Melarang Ziarahi Kubur Nabi Di Madinah
Ada
yang menuduh kaum Wahhabi melarang menziarahi kubur Nabi sallallahu
‘alaihi wa-sallam di Madinah. Tuduhan ini berpunca apabila para ulama
Salaf as-Soleh dan para pendakwah Salafiyah melarang kaum muslimin ke
Madinah yang semata-mata berniat khusus kerana ziarah kubur Nabi,
termasuklah kubur para sahabat radiallahu ‘anhum. Sebenarnya yang
dilarang bukan menziarahi kubur Nabi kerana disunnahkan menziarahi kubur
Nabi apabila sampai di Madinah, tetapi yang dilarang apabila berniat ke
Masjid Nabi di Madinah semata-mata kerana kubur bukan kerana solat di
Masjid Nabi.
Larangan ini termasuk dalam fatwa Imam Syafie kerana
kesemua hadis-hadis yang menggesa agar ke Madinah berniat semata-mata
khusus untuk menziarahi kubur Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam adalah
hadis-hadis lemah dan palsu belaka. Antara hadis-hadis tersebut:
مَنْ حَجَّ الْبَيْت وَلَمْ يَزُرْنِيْ فَقَدْ جَفَانِيْ
“Sesiapa
yang mengerjakan haji ke Baitullah, tetapi tidak menziarahi aku, maka
dia telah melupakan aku”. H/R Ibn Adi dan Darqutni dari jalan Abdullah
bin Umar. Hadis ini lemah malah palsu dan bohong. Disanadnya terdapat
Muhammad bin an-Nukman al-Bahil dari bapanya, keduanya terlalu lemah.
Diriwayatkan juga oleh al-Baihaqi, menurutnya hadis lemah. Hadis
seterusnya ialah:
مَنْ زَارَنِيْ بَعْدَ مَوْتِيْ فَكَأَنَّمَا زَارَنِيْ فِى حَيَاتِيْ.
“Sesiapa
yang menziarahi aku setelah kewafatanku, maka seakan-akan dia
menziarahi aku semasa aku hidup”. (H/R Darqutni. Dalam sanadnya seorang
yang majhul dan dalam riwayat Abu Ya’la terdapat Hafs bin Daud dia
seorang yang lemah. Hadis ini sangat lemah.)
مَنْ زَارَنِيْ بِالْمَدِيْنَةِ مُحْتَسِبًا كَنْتُ لَهُ شَفِيْعًا شَهِيْدًا يَوْم الْقِيَامَةِ.
“Sesiapa
yang menziarahiku di Madinah kerana mengharapkan kebaikan, aku akan
memberi syafaat dan menjadi saksi baginya di Hari Kiamat”. H/R Ibn Abi
Dunya dari jalan Anas bin Malik. Dalam sanadnya terdapat Zaid al-Ka’bi,
seorang yang lemah hadisnya. Dan riwayat dari Abu Daud at-Tayalisi dari
jalan Umar dan sanadnya majhul. Hadis ini lemah.
Amalan Ahli Sunnah wal-Jamaah Mengaji (Membaca Al-Quran) Di Rumah Bukan Di kubur
Fahami
dan amalkanlah hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang
menjelaskan agar sentiasa membaca al-Quran di rumah bukan di kuburan.
Kerana diharamkan mengaji (membaca al-Quran) di kubur walaupun di kubur
yang dijadikan sebagai “kubur keramat” oleh si Jahil. Baginda bersabda:
لاَ تَجْعَلُوْا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، اِنَّ الشَيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَاُ فِيْهِ سُوْرَة الْبَقَرَةِ.
“Janganlah
kamu jadikan rumah-rumah kamu seumpama perkuburan, sesungguhnya syaitan
akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah”. (H/R
Muslim, 2/188. Ahmad, 2/284, 337, 387, 388. Turmizi dan Nasaii)
عَنِ
ابْنِ عُمَرَرَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ
صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِجْعَلُوْا فِى بُيُوْتِكُمْ مِنْ
صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوْاهَا قُبُوْرًا.
“Dari
Ibnu Umar berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
Jadikanlah rumah-rumah kamu sebahagian dari solat-solat kamu dan
janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu itu seumpama kuburan”. (H/R
Bukhari 1/112. 2/56. Ahmad 2/16, 6/65. Ibnu Majah (1377). Abu Daud
(1448). Dan Baihaqi 2/186, 435)
Semoga Allah Azza wa-Jalla
sentiasa memelihara dan menyelamatkan akidah orang-orang beriman,
beristiqamah, bertakwa dan yang rajin membaca kitab-kitab agama sehingga
tekun menyibukkan dirinya mempelajari ilmu-ilmu agama terutamnya ilmu
akidah Islamiyah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin!
Kuburi adalah istilah
syarie yang hampir tidak dikenali langsung oleh kebanyakan orang Islam
di Nusantara. Akibatnya perbuatan kuburi yang mungkar ini diamalkan
secara berleluasa sejak sekian lama tanpa disedari oleh pelakunya bahawa
ia adalah amalan yang haram, bid’ah, khurafat dan membawa kepada syirik
besar.
Buku kecil ini menampilkan hakikat apa itu kuburi menurut
hukum syara. Buku kecil ini juga sebagai bidasan terhadap kenyataan
Uthman El-Muhammady (Pak Man) di akhbar Mingguan yang membuat masyarakat
Malaysia dan Singapura mengemukakan banyak pertanyaan kepada penulis.
Buku ini adalah sebagai jawapan kepada semua para penanya yang bertanya tentang isu Wahhabi yang dibangkitkan oleh Pak Man.
Di-Edit Semula Daripada Kertas Kerja:
Ust. Abu Farouq Rasul Bin Dahri