Benarkah ada Dosa dan Kezaliman Paling Besar ?
Apabila kita melihat keadaan manusia pada hari ini, kita dapati bahawa –masyaAllah-
memang manusia sudah mencapai kemajuan dari sudut keduniaan, teknologi,
juga kebendaan. Namun dalam masa yang sama, dalam kemajuan kebendaan
itu, kita dapati masih ada lagi pemikiran-pemikiran kolot dan
ketinggalan zaman yang rosak dan menyimpang di kalangan manusia secara
umumnya dan di kalangan Umat Islam secara khasnya; iaitu manusia masih
lagi percaya kepada kuasa-kuasa, benda-benda yang secara Syarak dan
secara logiknya pun jelas bahawa ianya menyimpang.
Kekurangan dan ketinggalan dari segi pemikiran dan kesucian akidah
masyarakat Islam yang masih lagi tercemar, rosak dan lemah menunjukkan
kepada kita bahawa perlunya usaha diambil untuk dibetulkan dan
ditambahkan mana yang kurang, khususnya dalam perkara-perkara akidah,
kerana ia menjadi tunjang kepada Agama Islam.
Mereka yang mendakwa bahawa Umat Islam tidak perlu lagi didedahkan
atau diajar tentang perkara-perkara Tauhid dan Akidah, mereka yang
mendakwa bahawa perkara-perkara ini telah diajar dan telah khatam ketika
sekolah rendah, jelas bahawa dakwaan-dakwaan seperti ini adalah salah.
Bahkan ada yang mengatakan bahawa kita tidak perlu lagi membahaskan
tentang perkara Tauhid, sebaliknya kita perlu maju terus membincangkan
perkara-perkara yang lebih penting yang melibatkan masalah Umat,
contohnya masalah rasuah, penyelewengan, atau masalah politik. Semua
ingin membincangkan masalah politik. Tetapi masalah Akidah yang
membabitkan Tauhid serta apa yang bercanggah dengannya iaitu Syirik,
masyarakat Islam masih lagi ketinggalan.
Buktinya ialah masyarakat Islam masih percaya kepada Bomoh, Sihir, Tangkal, dan seumpamanya.
Seperti mana di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan
Muslim, seorang sahabat yang bernama Huzaifah bin Al-Yaman radhiyallahu ‘anhuma berkata,
كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْخَيْرِ وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنْ
الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي
“Manusia bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam
tentang kebaikan sedangkan aku bertanya kepada Baginda tentang
keburukan, kerana aku khuwatir ia (keburukan itu) akan menimpaku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dapat kita faham daripada apa yang disebutkan oleh Huzaifah bin
Al-Yaman ini, walaupun hadisnya di dalam perkara yang lain tetapi
pemahaman yang ada pada Huzaifah itu tidak kurang pentingnya; iaitu di
samping kita fahami kebaikan-kebaikan, amalan-amalan baik, akidah yang
benar, tidak kurang pentingnya kita perlu tahu tentang perkara-perkara
yang sebaliknya; akidah-akidah yang rosak, pemahaman-pemahaman yang
salah dan menyimpang.
Jadi di samping kita mengetahui apa itu Tauhid, apa itu akidah yang
benar, tidak kurang juga kita perlu mengetahui tentang apa itu
kesyirikan.
APA ITU SYIRIK?
Dari segi bahasa, Syirik ialah menyekutukan; mengadakan sekutu. Bahkan di dalam bahasa Melayu ada perkataan Syarikat. Syarikat
berasal dari perkataan Arab yang sama dengan Syirik, bermaksud
bersekutu. Jelas bahawa Syarikat adalah himpunan dua orang atau lebih
yang menjadi rakan kongsi dan bersekutu dalam mengusahakan perniagaan
mereka.
Jelas di sini penggunaan perkataan Syirik yang bermaksud menyekutukan
Allah di dalam perkara-perkara yang membabitkan ketuhanan, sama ada di
dalam Rububiyah (penguasaan dan kekuasaan Allah) contohnya mempercayai
ada kuasa-kuasa di samping Allah, percaya adanya pentadbir urusan alam
ini selain Allah, itu contoh Syirik di dalam Rububiyah.
Syirik dalam Rububiyah ini akan berlanjutan dan terpalit pada Syirik
di dalam Uluhiyah, iaitu mengibadahi (menyembah, berdoa kepada) Tuhan
lain di samping beribadah kepada Allah, percaya bahawa perlu ditujukan
ibadah kepada selain Allah di samping ibadahnya kepada Allah.
Syirik Rububiyah dan Uluhiyah ini berkait rapat bahkan tidak boleh
dipisahkan. Kesimpulannya, apabila dikatakan Syirik bererti menyekutukan
Allah di dalam Rububiyah dan juga Uluhiyah. Percaya adanya Tuhan-Tuhan
atau kuasa-kuasa di samping Allah yang perlu ditujukan kepadanya Ibadah.
CONTOH-CONTOH SYIRIK DALAM IBADAH
1) DOA
Apabila dikatakan Syirik, kebiasaannya ia berkisar dalam ibadah doa,
meminta, menyeru, dan bermunajat. Disekutukan Allah di dalam doa itu.
Asal doa itu adalah kepada Allah semata-mata. Tetapi mereka yang Syirik
menyeru dan berdoa kepada selain daripada Allah.
2) MENYEMBELIH
Selain doa adalah perkara-perkara ibadah lain yang sepatutnya
ditujukan kepada Allah semata-mata tetapi mereka tujukan kepada selain
Allah. Kebiasaannya seperti menyembelih. Sembelih bukanlah urusan dunia semata-mata. Walaupun haiwan itu
disembelih untuk dimakan dan untuk kenyang, di mana secara zahirnya ia
kelihatan seperti urusan dunia, tetapi hakikatnya sembelih merupakan
satu ibadah. Ketika sembelih, ketika dibawakan pisau ke leher haiwan,
itu adalah urusan ibadah yang hanya boleh dikhaskan untuk Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Kerana itulah kita kena mengucapkan Bismillah. Jika tidak diucapkan
Bismillah, sembelihan itu akan menjadi bangkai, tidak boleh dimakan,
tidak halal. Ucapan Bismillah yang diucapkan ketika sembelih itu sahaja
yang akan menjadikan haiwan itu halal dan boleh dimakan.
3) BERNAZAR
Dalam bernazar iaitu berazam untuk melakukan sesuatu, di situ juga
boleh berlaku kesyirikan, iaitu apabila bernazar untuk melakukan sesuatu
kerana selain daripada Allah.
4) TAKUT, BERHARAP, CINTA YANG MELAMPAU
Begitu juga perasaan takut, berharap dan cinta yang melampau dan
melebihi biasa kepada sesama makhluk. Perasaan takut, harap, dan cinta
yang biasa tidak ada masalah, contohnya takut kepada harimau. Tetapi
jika rasa takut itu melampaui had, ia akan masuk ke dalam kesyirikan,
kerana kita hanya boleh takut, berharap dan cinta secara mutlak kepada
Allah semata-mata.
SYIRIK DOSA PALING BESAR
Mengenangkan Syirik ini berlawanan sama sekali dengan tunjang agama
iaitu Tauhid, maka Syariat Islam mengkategorikan Syirik sebagai dosa
yang paling besar. Mengapa ia dikategorikan sebagai dosa yang paling
besar?
Pertama:
Orang yang melakukan Syirik telah menyamakan Allah dengan makhluk di dalam perbuatan Syirik yang dilakukannya.
Contohnya, doa sepatutnya hanya ditujukan kepada Allah, tetapi
apabila dia berdoa kepada selain Allah, dia telah menyamakan Allah
dengan makhluk yang dia doa kepadanya. Dia mempunyai kepercayaan yang
sama kepada selain Allah yang dia tujukan doanya tadi. Kerana itu di
dalam Surah Luqman ayat ke-13, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
“Sesungguhnya Syirik itu adalah kezaliman yang paling besar” (Surah Luqman: 13)
kerana pelakunya telah menyamakan Pencipta dengan makhluk, tidak kira
sesiapa pun makhluk itu sedangkan jurang perbezaan antara Allah dan
makhluk adalah tidak terhingga.
Apakah yang dimaksudkan dengan zalim?
Kadang-kadang orang keliru juga dengan maksud zalim. Perkataan zalim
sudah jadi biasa di lisan dan telinga kita. Kalau kita biasa dengar
Syirik itu perkara yang zalim, itu tidak mengapa, malah itu bagus supaya
orang sentiasa berusaha untuk memantapkan akidah. Tetapi sebaliknya
yang biasa kita dengar hanyalah kerajaan zalim.
Kita kena tahu apa itu kezaliman. Secara umumnya, zalim itu adalah
lawan kepada adil. Zalim adalah ‘meletakkan sesuatu bukan pada
tempatnya’. Allah Subhanahu wa Ta’ala mengatakan bahawa pelaku
Syirik telah melakukan kezaliman kerana perbuatan ibadah yang sepatutnya
diletakkan dan ditujukan kepada Allah, dia telah meletakkan dan
menujukannya kepada selain Allah. Maka di situ kaitan antara Syirik
dengan kezaliman sangat jelas.
Kedua:
Syirik dikategorikan sebagai perbuatan dosa yang paling besar kerana
Allah telah menyebutkan di dalam Al-Quran bahawa mereka yang melakukan
Syirik dan tidak bertaubat daripadanya, nescaya tidak akan diampunkan
dosanya itu. Tiada maaf bagi mereka yang melakukan kesyirikan. Hal ini
sebagaimana yang disebut di dalam Surah Al-Nisa, ayat yang ke-48,
إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ
وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ
فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa Syirik, dan Dia boleh mengampunkan dosa yang selain daripada itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah An-Nisaa, 4: 48).
Ini merupakan satu prinsip Ahli Sunnah; Dosa
Syirik tidak akan diampunkan, manakala selain dosa Syirik boleh
diampunkan oleh Allah bagi siapa yang dikehendaki oleh Allah.
Sebesar-besar dosa mana pun yang dilakukan oleh seorang manusia
(selain Syirik), kebarangkalian untuk Allah ampunkan itu ada (walaupun
dia tidak bertaubat). Jangan kita kata bahawa dosa seseorang itu tidak
akan diampunkan. Sebutkan sahaja apa dosa selain Syirik; Berzina, minum
arak, rasuah, bunuh orang, macam-macam dosa yang besar-besar, kesemua
itu Allah boleh ampunkan kalau Allah mengkehendakinya, dan kepada siapa
yang Allah kehendaki.
Boleh jadi Allah ampunkan si fulan, tetapi bagi si fulan yang lain
Allah tidak ampunkan walaupun kedua-duanya melakukan dosa yang sama.
Tetapi atas sebab-sebab yang tertentu Allah mengampunkan si fulan dan
tidak mengampunkan si fulan. Tetapi kalau dosa Syirik, Allah sama sekali
tidak akan mengampunkannya.
Ketiga:
Dosa Syirik dikatakan dosa yang paling besar kerana mengenangkan
Allah tidak mengampunkan dosa Syirik, maka lanjutan daripada itu dapat
disimpulkan bahawa tempat orang yang melakukan Syirik di Akhirat kelak
adalah di dalam Api Neraka, kekal abadi selama-lamanya. Tidak akan
mereka keluar daripada Api Neraka. Jangan mimpi hendak keluar kerana ini
adalah janji Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti mana firmanNya dalam Surah Al-Ma-idah ayat ke-72,
إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ
عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ
أَنْصَارٍ
“Sesungguhnya barangsiapa yang menyekutukan Allah, maka Allah pasti
mengharamkan ke atasnya Syurga, dan tempat tinggalnya di dalam Api
Neraka, dan bagi siapa yang melakukan kezaliman (kesyirikan) tidak ada
sesiapa yang dapat membantu (untuk mengeluarkannya dari Neraka).” (Surah Al-Ma-idah, 5: 72)
Keempat:
Syirik itu dikategorikan sebagai dosa yang paling besar kerana Syarak
melihat bahawa orang yang melakukan Syirik seperti mana halnya orang
Kafir, Musyrikin, atau orang Islam yang murtad tidak kira di mana sama
ada di Barat, Timur, Utara dan Selatan, amal pahala mereka terhapus dan
terbatal sama sekali. Walaupun sebelum dan selepas itu mereka melakukan
kebaikan-kebaikan sebesar gunung.
Disebabkan perbuatan Syirik yang mereka lakukan dan mereka tidak
bertaubat daripadanya, akhirnya pahala-pahala yang mereka lakukan itu
tidak bernilai sama sekali di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hal ini seperti mana di dalam Surah Al-An’aam ayat ke-88,
وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُم مَّاكَانُوا يَعْمَلُونَ
“Dan sekiranya mereka melakukan Syirik nescaya terbatallah apa yang mereka kerjakan (seluruh amal kebaikan).” (Surah Al-An’aam, 6: 88)
Begitu juga dalam Surah Az-Zumar ayat ke-65, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِّنَ الْخَاسِرِينَ
“Sekiranya engkau melakukan Syirik nescaya akan terbatallah amalan
engkau dan engkau akan tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.” (Surah Al-Zumar, 39: 65)
Jadi perbetulkan pemahaman kita, kerana kadang-kadang ada suara-suara
sumbang yang mengatakan bahawa amalan orang kafir yang baik itu dikira
oleh Allah.
Kalau kita lihat, adakah orang-orang kafir ini semuanya jahat-jahat?
Tidak. Ada orang-orang kafir yang baik. Tingkah lakunya baik, akhlaknya
baik, suka tolong orang, suka bersedekah, menolong anak yatim, mengajar
pelbagai jenis ilmu, memberi bantuan kepada orang-orang susah, semua ini
dilakukan juga oleh orang kafir. Persoalannya, adakah mereka akan
mendapat pahala di sisi Allah?
Percayalah bahawa mereka tidak mempunyai apa juga pahala sama sekali,
kerana walaupun mereka melakukan kebaikan-kebaikan itu, tetapi dalam
masa yang sama kerana mereka melakukan sebesar-besar dosa iaitu
kesyirikan, akhirnya kebaikan di sisi mereka itu tidak bernilai di sisi
Allah. Kecuali jika mereka bertaubat (masuk Islam).
Sekiranya mereka bertaubat, Allah sama sekali tidak akan menzalimi
mereka, sebaliknya amalan-amalan mereka yang sebelum ini akan dikira
sebagai amalan-amalan yang mereka dapat pahala daripadanya. Tetapi jika
mereka kufur, begitu juga bagi orang Islam yang murtad –na’uzubillah-
maka amalannya sebelum ini, solat, puasa yang dilakukan, semua itu
terbatal dan tergugur serta tidak akan bernilai sama sekali di sisi
Allah.
(Disalin dari rakaman Forum Bomoh, Sihir & Tangkal, 28/04/2013)
Sumber :
0 comments: